Dr Mohamad Zainol Labur RM1 Juta Bagi Membina Ladang, Cipta Makanan Ternakan Sendiri 1

Dr Mohamad Zainol Labur RM1 Juta Bagi Membina Ladang, Cipta Makanan Ternakan Sendiri

Artikel ini dikeluarkan oleh Berita Harian pada 27 Ogos 2007

Dr Zainol
TEKADNYA menceburi perniagaan ternakan ayam kampung organik adalah bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah untuk menyediakan makanan halal bermutu untuk umat Islam di negara ini.

Di ladang itu beliau menternak 40,000 ayam kampung yang diberikan makanan herba berkhasiat dan bermutu tinggi bagi memastikan dagingnya benar-benar bebas daripada sebarang campuran bahan kima.

Makanan yang diberikan adalah hasil ciptaan beliau sendiri selepas melakukan penyelidikan selama setahun.

Ia daripada ejen pemangkin pertumbuhan yang banyak digunakan dalam industri penternakan untuk mempercepatkan proses tumbesaran ayam.

Pengarah Urusan Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn Bhd (Al-Mumtaz) itu berkata, hasrat utama menceburi ternakan ayam kampung organik tanpa sebarang campuran bahan kimia terlarang bagi menyahut tuntutan agama dan kerajaan yang menggalakkan orang Islam di negara ini terbabit dalam industri makanan halal.

“Saya terpanggil untuk menceburi ternakan ayam kampung organik ini adanya pelbagai laporan kebelakangan ini mengenai daging yang disuntik dengan pelbagai bahan yang tidak halal ditambah lagi dengan cara sembelihan meragukan umat Islam.”

“Hasil daripada pengamatan saya mendapati makanan yang diberikan kepada ayam untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti kaedah yang betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit seperti kanser dan jantung,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Beliau menubuhkan Al-Mumtaz tahun lalu dengan harapan dapat menyediakan kemudahan makanan halal kepada umat Islam di negara ini dan juga di luar negara.

“Langkah kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab makanan halal dunia tepat pada masanya kerana orang Islam perlu menghasilkan makanan yang halal dan bermutu tinggi seperti yang dituntut agama.

“Penyediaan makanan halal itu turut termasuk proses penyembelihan, makanan yang diberikan kepada binatang yang diternak dan pengedaran produk berkenaan,” katanya.

Dr Mohamad Zainol yang mendapat pendidikan perubatan di Amerika Syarikat, pernah bekerja dengan beberapa syarikat antarabangsa seperti Pfizer serta menjawat beberapa jawatan kanan di syarikat antarabangsa berkenaan.

Beliau menubuhkan klinik Medi Sina di Ampang khusus untuk perkhidmatan kesihatan sejak sepuluh tahun lalu sebelum menceburi penternakan ayam sejak setahun.

“Saya memulakan perniagaan pada 2005 dengan mengimport daging dari luar negara. Selepas mempelajari selok belok perniagaan ini, tahun lalu membuka perniagaan menternak ayam kampung organik,” katanya.

Ayam kampung yang diternak secara organik itu diberi makan ekstrak herba yang kaya dengan bahan antioksida dan antikanser seperti halia, kunyit, pandan, habbatus sauda dan limau purut.

Tanpa penggunaan antibiotik, tidak menggunakan hormon, beta agonist dan salbutamol.

Pemakanan berkhasiat yang memanfaatkan penggunaan pelbagai bahan organik dan herba dapat meningkatkan daya tahan ayam berkenaan daripada serangan penyakit dan proses penuaan.

Ayam kampung organik yang diternaknya dibiarkan bebas kerana menerusi cara itu ia mampu menghasilkan daging yang memiliki protein tinggi.

Dr Mohamad Zainol berkata, perniagaan yang diusahakan ini tidak pernah mendapat bantuan kerajaan atau pinjaman daripada mana-mana bank.

“Saya menggunakan duit simpanan yang ada untuk membangunkan perniagaan menternak ayam daging organik, tambahan pula amat sukar bagi mereka yang terbabit dalam bidang pertanian untuk memohon pinjaman daripada bank,” katanya.

Beliau berkata, sambutan pengguna terhadap ayam kampung organiknya adalah amat menggalakkan selepas menyedari ayam kampung organik tidak menggunakan bahan pemangkin pertumbuhan seperti beta agonist serta lemak dan enzim babi.

Beliau berkata, kesedaran orang ramai terhadap makanan berkhasiat dan menggunakan bahan organik semakin meningkat di negara ini.

“Sejak mula memasuki pasaran sebulan yang lalu, saya sudah menjual lebih 9,000 ekor ayam kampung organik.”

“Saya berhasrat mengembangkan perniagaan ini menerusi sistem francais kepada mana-mana individu yang berminat iaitu membabitkan pembukaan kedai untuk menjual ayam kampung organik yang sudah siap diproses,” katanya.

Beliau berkata, ayam kampung organik yang diternak itu kini dibekalkan ke hotel di Kuala Lumpur dan Selangor antaranya rangkaian hotel De Palma serta restoran Sari Ratu dan Wong Solo.

Katanya, beliau berhasrat untuk menjadikan perusahaan penternakan ayam kampung organik ini sebagai satu perniagaan yang bersifat ‘niche’ yang mana mereka yang hendak menikmati keenakan ayam kampung segar, sudah siap diproses serta menggunakan bahan halal sebagai makanan haiwan ternakan berkenaan boleh mencarinya di kedai yang akan ditubuhkan menerusi sistem francais.

2 comments

    Excellent effort Dr Mohamad Zainol.
    Wishing you all success all the way

      thanks for the warm wishes!

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping