KPDNHEP Selangor Rampas 2,100 Produk Makanan Tidak Diiktiraf Logo Halal

KLANG, 10 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 2,100 unit produk makanan, kerana didapati menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dalam satu serbuan hari ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan ke atas premis di Jalan Kebun Nenas di sini, dilakukan kira-kira pukul 3 petang bersama enam pegawai Jabatan Agama Islam Selangor, hasil risikan sejak dua minggu lepas.

“Hasil siasatan mendapati, premis yang diusahakan peniaga tempatan itu mengeluarkan tiga jenis produk makanan iaitu rempeyek, biskut pulut dan roti pong yang mempamerkan logo halal tidak diiktiraf JAKIM dan juga logo halal JAKIM palsu pada bungkusannya.

“Premis ini telah beroperasi lebih 10 tahun lepas dan pernah diperiksa serta dinasihatkan supaya memohon sijil halal yang diperakui namun pengusaha gagal melakukannya. Disebabkan itu, produk makanan untuk pasaran tempatan dianggarkan bernilai RM12,774 berkenaan dirampas,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Muhammad Zikril Azan berkata kes disiasat mengikut Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan seorang lelaki berumur lingkungan 50an dipercayai pemilik premis, diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

Mengulas mengenai tahap kebersihan premis tersebut, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut, kerana ia didapati tidak mencapai standard yang sewajarnya sebagai pengeluar produk makanan.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa peka dengan logo halal yang tertera pada bungkusan makanan bagi mengelakkan mereka berasa ditipu oleh pengeluar makanan.

Sumber: BERNAMA

Bacaan lanjut:

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.