Ayam Sembelih Tak Putus Urat

Artikel ini dikeluarkan oleh Harian Metro pada 4 September 2010

BUKTI...Amri (kanan) menunjukkan urat leher ayam yang tidak disembelih secara sempurna, semalam.
BUKTI…Amri (kanan) menunjukkan urat leher ayam yang tidak disembelih secara sempurna, semalam.

KUALA LUMPUR: Tiga pusat penyembelihan ayam di pasar Chow Kit, di sini yang mengedarkan ayam sembelihan ke pasar raya dan pasar di Lembah Klang didapati menyembelih ayam secara tidak sah menurut hukum Islam selepas didapati urat halkum ayam disembelih tidak putus seperti disyaratkan.

Lebih menyedihkan pemilik pusat itu sanggup mengupah tukang sembelih warga asing serta tidak bertauliah menyebabkan ayam yang disembelih itu ibarat ‘bangkai’ kerana ia turut dilemaskan dalam tong besar berisi air.

Ini terbukti dalam satu operasi khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke pasar berkenaan awal pagi semalam.

Dalam operasi bersepadu kira-kira jam 5 pagi itu, seramai hampir 30 pegawai dan anggota dari Jakim, Jawi, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak melakukan pemeriksaan mengejut terhadap tiga pusat penyembelihan ayam di pasar terbabit yang disyaki melakukan pelanggaran syarak.

Operasi terbabit turut disertai Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Zainal Abidin Jaafar dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah bagi melihat sendiri masalah berhubung isu halal di kalangan pengusaha ayam tempatan.

Namun kehadiran pihak berkuasa seolah-olah dihidu apabila seorang penyembelih ayam yang tidak mempunyai tauliah lari lintang pukang dan gagal diberkas selepas pusat penyembelihan ayam di kawasan itu digempur.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah yang turut menyertai operasi itu terkejut apabila empat dari ayam yang baru disembelih didapati tidak putus urat halkum.

Ayam itu yang masih belum diproses disembelih menggunakan pisau tumpul sebelum dicampakkan ke dalam tong besar berisi air.

Amri berkata, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya sukar memastikan sama ada ayam berkenaan mati akibat disembelih atau lemas akibat disumbat ke dalam tong berisi air berkenaan.

Menurutnya, keadaan ini menimbulkan isu ‘syubahah’ atau curiga sama ada ia halal dimakan atau sebaliknya berikutan pernah berlaku peniaga melemaskan ayam yang baru disembelih ke dalam tong besar berisi air atau menindihnya dalam tong bagi mempercepatkan proses kematian sebelum diproses dan dijual kepada orang ramai.

“Bagaimanapun pemeriksaan mendapati kebanyakan ayam disembelih dengan cara tidak sempurna, malah lelaki yang ditugaskan menyembelih ayam berkenaan adalah pendatang asing Indonesia yang tidak mempunyai surat kebenaran menyembelih dari Jawi.

“Agak menghairankan apabila empat pekerja penyembelih tempatan yang mempunyai surat kebenaran Jawi sebaliknya, tidak bertugas dan berada di pusat penyembelihan berkenaan. Rata-rata pekerja yang ditemui hanyalah warga Bangladesh dan Indonesia yang digaji untuk menyembelih dan memproses ayam terbabit,” katanya.

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping