Sijil-pengesahan-muzakki-dan-logo-sahabat-zakat-kedah-1

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH: TANDA SOKONGAN LZNK KEPADA PARA PEMBAYAR ZAKAT PERNIAGAAN.

“Inisiatif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dah viral Tuan Syeikh di media sosial”, mesej seorang teman.

Selepas tersebar “copywriting” Pn Mazlina Kamaruddin, CEO Ayam Bismi dan berita Sinar Harian berkenaan dengan pelancaran logo Sahabat Zakat Kedah, telefon saya dihujani dengan mesej daripada rakan-rakan.

logo ayam bismi

Ada yang mengucakan tahniah kepada LZNK, ada yang memberikan cadangan penambahbaikan dan ada yang bertanya bagaimana lahirnya idea Sahabat Zakat Kedah (SZK) ini?

Untuk makluman sahabat-sahabat, Logo Sahabat Zakat Kedah (SZK) bukannya dicipta untuk menggantikan logo halal. Tetapi logo ini dilancarkan sebagai tanda sokongan dan penghargaan LZNK kepada para pembayar zakat.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 1

Dalam memperkasa agenda ekonomi umat Islam, hubungan antara pembayar dan penerima amat rapat.

Jika seseorang peniaga muslim yang konsisten menunaikan zakat itu beroleh keuntungan dalam perniagaan mereka, maka secara teori dominonya jumlah zakat yang dibayar juga akan turut meningkat.

Di dalam pasaran ekonomi, peniaga yang menunaikan zakat terpaksa bersaing dengan peniaga yang tidak menunaikan zakat sama ada dalam kalangan peniaga Islam atau sebaliknya.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 2

Kerana itu, logo Sahabat Zakat Kedah (SZK) ini dilancarkan bagi tujuan memberi pilihan kepada pembeli Muslim untuk memilih di antara produk yang dizakatkan ataupun yang tidak dizakatkan.

Sekurang-kurangnya ia boleh memberi panduan kepada para pengguna untuk memilih barang yang diyakini bahawa pemiliknya merupakan seorang yang taat pada agama dan menunaikan zakat daripada harta kekayaan yang dimilikinya.

Selain itu juga, dalam konteks perniagaan, hanya perniagaan yang patuh syariah atau yang halal sahaja boleh mengeluarkan zakat perniagaan. Berapa ramai perniagaan yang menjalankan perniagaan yang tidak patuh syariah sebelum ini dan ingin membayar zakat perniagaan kepada LZNK, namun atas nasihat Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah Darul Aman, perkara tersebut terpaksa ditolak.

Bayaran Zakat Ayam Bismi 2019

Hal demikian kerana, konsep zakat itu sendiri adalah untuk menyucikan harta dan harta yang hendak disucikan tersebut mestilah harta yang halal dan diniagakan oleh orang Islam.

Bahkan kita sedia maklum, banyak produk yang berada di pasaran yang menggunakan logo cap masjid, cap haji, cap ahmad, cap itu dan ini atas nama orang Islam yang pada hakikatnya bukan pun 100% milik umat Islam sekalipun di produk mereka terpampang logo halal.

Bagi aktivis Buy Muslim First (BMF), ada yang mengucapkan tahniah kerana agenda logo Sahabat Zakat Kedah (SZK) juga menyokong agenda mereka.

Saya ingin nyatakan bahawa, objektif LZNK bukan semata untuk menyokong agenda BMF, bahkan lebih daripada itu adalah LZNK menyokong peniaga Islam yang mana mereka berniaga dan dalam pada masa yang sama mereka menunaikan zakat tanda ketaatan mereka pada Allah.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 3

Zaman sekarang ini tidak pelik jika kita lihat ada muslim yang rancak berniaga, beroleh keuntungan berlipat ganda tetapi mereka masih enggan menunaikan zakat. Sehingga ada juga yang berpendapat bahawa pengeluaran zakat ini akan merugikan perniagaan mereka seolah-olah tidak yakin dengan janji Allah SWT.

Percayalah, sesiapa sahaja Muslim yang berniaga dan seterusnya menunaikan zakat, kitaran ekonomi itu akhirnya akan berputar semula dan memberi manfaat kepada orang Islam di Malaysia.

Kami amat mengalu-alukan kedua belah tangan bagi mendapatkan idea dan buah fikiran serta pandangan untuk mempromosikan usaha LZNK dalam memperkasa agenda pendayaupayaan ekonomi umat Islam di Malaysia.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 4

Sehingga hari ini, pihak LZNK telah pun mengeluarkan sebanyak lebih kurang 130 Sijil Pengesahan Muzakki dan ada antara mereka yang telah pun menggunakan logo Sahabat Zakat Kedah di produk yang dikeluarkan. Diharapkan dengan penggunaan logo ini akan dapat membantu meyakinkan orang ramai terhadap produk masing-masing.

Jika tahun lepas, jumlah pembayaran zakat perniagaan adalah RM41 juta dan sebahagian besarnya adalah daripada syarikat korporat dan GLC. Tidak mustahil jika kempen ini berjalan lancar, kutipan zakat perniagaan juga akan semakin meningkat.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 5

Mana mungkin berbillion-billion putaran ekonomi dalam pelbagai sektor di kalangan peniaga muslim di Negeri Kedah, hanya sebanyak itu sahaja yang telah dizakatkan.

Berniaga kecil-kecilan, berniaga sederhana, berniaga besar-besaran jika mendapat keuntungan tahunan melebihi nisab maka disana tetap diwajibkan ke atas mereka untuk mentaksir dan menunaikan zakat perniagaan mereka.

Ini kerana, zakat merupakan salah satu sistem ciptaan Allah SWT untuk memastikan kitaran ekonomi umat Islam daripada golongan kaya untuk kembali membantu golongan miskin.

Sudah pasti barang siapa yang membantu memperkukuh kitaran ini juga akan diberkati perniagaannya oleh Allah SWT.

Zakaria Othman
Alor Setar, Kedah
Jumaat, 22 Mei 2020
29 Ramadan 1441H

Artikel ini ditulis oleh Syeikh Zakaria Othman bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman

KICAP MUDIM & LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH

Mudim adalah nama yang digeruni oleh anak-anak kecil suatu ketika dulu.

Lazimnya Tok Mudim akan muncul apabila musim cuti sekolah tiba.

Berbeza dengan hari ini, acara khatan kanak-kanak dulu dilakukan oleh Tok Mudim secara beramai-ramai atau dirumah secara persendirian.

Majlis khatan adalah majlis yang meriah.

Sebelum dikhatankan lazimnya anak-anak kecil akan diberi makan makanan yang istimewa.

Ketika saya berkhatan, diberi makan satay.

Ketika itu satay cukup istimewa bagi sebuah keluarga yang berpendapatan rendah.

Untuk berkhatan dengan mudim, “mangsa” khatan akan duduk diatas batang pisang.

Ada yang menangis, ada yang senyap sepi dan sebagainya.

Ada yang lari kerana mendengar jeritan “mangsa” mudim yang pertama.

“Sakitttt….”

“Adoila mati….”

“Mak..makk…”

Walaupun mudim cukup ditakuti, tetapi ianya menjadi dekat dihati ‘oghang Kedah’ apabila munculnya kicap Mudim Zakaria.

‘Toyu’ yang cukup lazat apabila dimakan dengan nasi panas dan telur mata kerbau.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 6

Hari ini Mudim Zakaria mencatatkan sejarah apabila menjadi muzakki pertama yang mencetak logo muzakki pada produk yang dikeluarkan mereka.

Insya Allah, bagi pembayar zakat yang lain penyerahan logo dan sijil akan menyusul.

SIJIL MUZAKKI DAN LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH 7

Logo sahabat zakat merupakan logo mengiktiraf pembayar-pembayar zakat untuk terus menunaikan zakat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah. Insya Allah, diyakini bahawa semua pembayar zakat adalah muslim kerana syarat wajib zakat adalah hanya seorang muslim.

Terima kasih Mudim Zakaria atas zakat yang ditunaikan.

Terima kasih juga atas sokongan kepada agenda mempromosi logo Sahabat Zakat Kedah untuk mewar-warkan peniaga yang menunaikan zakat apabila berjaya.

Artikel ini ditulis oleh Ustaz Faisal Mustaffa yang bertugas sebagai Pengurus di Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping