Usahawan IKS Bumiputera Jangan Ketinggalan 1

Usahawan IKS Bumiputera Jangan Ketinggalan

Artikel ini dikeluarkan oleh akhbar Utusan pada 11 April 2014

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertanya sesuatu kepada Officer Sustainable Trade Department Chile, Diego Osses (kanan) mengenai makanan yang dipamerkan selepas merasmikan Minggu Halal Sedunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. - BERNAMA
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertanya sesuatu kepada Officer Sustainable Trade Department Chile, Diego Osses (kanan) mengenai makanan yang dipamerkan selepas merasmikan Minggu Halal Sedunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. – BERNAMA

Minggu Halal Sedunia 2014 (Mihas 2014) bertemakan “Merangsang pertumbuhan perniagaan halal” bukan sahaja menarik minat masyarakat di negara-negara Islam malah negara-negara bukan Islam.

Penganjuran program ini tentunya menjadi pemangkin kepada usaha negara untuk terus menggiat dan mempromosi produk-produk halal tempatan di dalam dan luar negara.

Bermula dengan industri makanan, kini negara terus mengorak langkah dengan menumpukan kepada industri bukan makanan seperti industri kesihatan dan kosmetik.

Menurut satu laporan, jumlah eksport negara telah meningkat dengan begitu baik apabila jumlah pada 2012 adalah sebanyak RM1.6 bilion telah meningkat kepada RM1.9 bilion pada 2013. Data ini menunjukkan bahawa potensi dan perkembangan produk-produk halal terutamanya produk penjagaan diri dan farmasutikal mempunyai nilai tambah industri yang tinggi.

Walaubagaimanapun, timbul persoalan penting di sebalik usaha ini mengenai tahap kesediaan usahawan-usahawan tempatan untuk bersama-sama menjulang nama negara setanding dengan usahawan-usahawan besar sedia ada di pasaran dunia.

Mampukah syarikat-syarikat pengeluar tempatan terutamanya syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya IKS bumiputera menyahut dan berganding bahu de­ngan kerajaan bagi merealisasikan matlamat ini?

Bagi penulis, secara keseluruhannya syarikat-syarikat tempatan masih ragu-ragu dengan kepentingan dan potensi industri halal di dalam dan di luar negara. Ini kerana masih ramai di kalangan mereka kurang prihatin terhadap industri ini. Agak tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa tahap ke­sedaran usahawan IKS bumiputera terhadap pelaksanaan pensijilan halal adalah amat mendukacitakan.

Beberapa data dan laporan mendedahkan betapa sedikitnya IKS bumiputera membuat permohonan untuk mendapatkan sijil halal ke atas produk-produk mereka. Sebagai contoh, berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi 2009, didapati bahawa sebanyak 1,907 permohonan telah diterima daripada pengusaha untuk mendapatkan sijil halal. Daripada jumlah tersebut, hanya 622 permohonan diterima daripada pengusaha bumiputera manakala selebih­nya, iaitu 1,285 permohonan lagi adalah daripada pengusaha bukan bumiputera.

Daripada 622 permohonan usahawan bumiputera tersebut, hanya 301 berjaya mendapatkan sijil halal. Jumlah ini adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah sebenar usahawan IKS bumiputera yang aktif menjalankan perniagaan di seluruh negara.

Dalam satu laporan lain, ada didedahkan fakta yang mana hanya terdapat 30 peratus sahaja pemegang sijil halal adalah terdiri daripada usahawan bumiputera manakala 70 peratus lagi adalah di kalangan usahawan bukan bumiputera. Fakta ini dengan jelas menunjukkan bahawa ramai peniaga bukan Islam berlumba-lumba untuk memiliki sijil halal berbanding peniaga bukan Islam.

Hal ini menimbulkan persoalan kenapa perkara ini terjadi? Adakah ia kerana kurangnya pendedahan maklumat kepada usahawan bumiputera Islam mengenai industri halal? Atau adakah mereka berfikir bahawa tidak perlu untuk mendapatkan sijil halal kerana produk mereka sudah halal.

Persoalan-persoalan ini penting untuk dijawab. Ini kerana jika mereka menyedari kelebihan produk-produk yang mempunyai sijil halal yang sah, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.

Bagi mendapatkan jawapan, penulis sempat berbual dengan beberapa orang rakan yang giat menjalankan perniagaan dalam industri makanan dan farmasutikal. Mereka mendedahkan bahawa kurangnya pengetahuan berkaitan sijil dan industri halal merupakan faktor utama mereka tidak memohon sijil halal yang sah.

Kekurangan pengetahuan ini berlaku dalam beberapa perkara seperti tidak didedahkan dengan maklumat potensi dan sebab mengapa mereka perlu mendapatkan sijil halal, tidak terdedah kepada informasi mengenai agensi-agensi yang perlu dihubungi untuk mendapatkan sijil halal dan kurangnya fakta mengenai prosedur dan peraturan yang perlu dipenuhi dan diikuti untuk memboleh­kan permohonan mereka diluluskan.

Natijahnya, pengusaha-pengusaha ini seolah-olah ‘melarikan’ diri daripada agensi-agensi tertentu yang menguruskan pensijilan halal. Mereka lari bukan kerana takut tetapi kerana tidak cukup maklumat. Ada yang kata ia juga kerana kos yang tinggi dan ada pula yang kata kerana kerenah birokrasi yang melecehkan.

Namun, sejak mutakhir ini, kebanyakan mereka telah mula sedar bahawa betapa besarnya faedah yang diperolehi jika produk mereka mendapat sijil halal. Hal ini berlaku setelah mendapat pendedahan daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang secara berterusan berusaha sebagai pemudahcara antara pengusaha dan agensi penguatkuasaan sijil halal.

Malah, dikhabarkan agensi-agensi ini akan membantu mempercepatkan proses mendapatkan sijil halal bagi usahawan-­usahawan yang berminat. Ada kalangan usahawan diberikan hadiah cenderahati kerana berani untuk bersemuka dengan pihak-pihak terlibat.

Perkembangan ini telah memberikan sinar baru penyertaan IKS bumiputera dalam pelaksanaan pensijilan halal. Ia merupakan petunjuk utama bahawa inspirasi negara untuk menjadi hab halal dunia akan mampu dicapai. Penglibatan semua pihak dengan sokongan kementerian-kementerian yang dipertanggungjawabkan merealisasikan matlamat ini adalah sangat penting. Semoga usaha ini akan terus memartabatkan negara di mata dunia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

Sumber

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping