Persoalan Hukum Berkaitan Derma Darah. 1

Persoalan Hukum Berkaitan Derma Darah.

1. SOALAN :

Hukum orang Islam menderma darah.

JAWAPAN :

Hukum menderma darah adalah harus kerana Allah S.W.T menggalakkan kita berbuat demikian sebagaimana firmannya:- “Dan hendaklah kamu berbuat baik kerana sesungguhnya Allah amat mengasihani orang berbuat baik.”

 

2. SOALAN :

Bagaimanakah hukum jika seseorang Islam menderma darah kepada orang bukan Islam dan sebaliknya?.

JAWAPAN :

  • Menderma darah hukumnya harus.
  • Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.
  • Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah tidak digalakkan.

17991588_1803137073046474_4107615905241048932_o

3. SOALAN :

Seoarang lelaki mengatakan bahawa isterinya sakit dan memerlukan darah. Kemudian hospital meminta suaminya untuk mendermakan darahnya. dia menanyakan apakah perkara itu berpengaruh terhadap perkahwinannya?

JAWAPAN :

Darah bukanlah termasuk makanan (sumber tenaga) seperti air susu. Yang menyebabkan terjadinya hubungan muhrim menurut hukum adalah susuan. Hukum susuannya berjumlah lima kali atau lebih. Yang kedua, bayi mestilah berusia dua tahun atau kurang daripada dua tahun. Atas dasar inilah, maka darah yang didermakan kepada isteri anda tidak berpengaruh terhadap perkahwinan.

 

4. SOALAN :

Apakah hukum menerima organ dan darah daripada non-Muslim kerana saya baru melihat sebuah video di Youtube (https://www.youtube.com/watch?v=7Hea19MUg-I) di mana seorang Youtuber terkenal, Namewee telah bertanyakan akan hal ini.

 

JAWAPAN :

Pertamanya, kami ucapkan terima kasih kepada saudara Namewee atas pertanyaan kerana ia membabitkan isu semasa yang seminggu dua ini hangat dibincangkan. Justeru, kami merasakan amat perlu untuk kami menjawab persoalan ini agar sebarang kekeliruan sebegini tidak lagi berlaku dalam kalangan Muslim, mahupun non-Muslim.

Kami nyatakan di sini betapa manusia merupakan makhluk Allah yang mulia.

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami muliakan keturunan Adam dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ia bermaksud ditambah kemuliaan manusia oleh Allah. Ini termasuklah diciptakan mereka dalam bentuk yang amat menarik. Lihat Tafsir al-Qurtubi 10/293.

Al-Maraghi berkata, “Sesungguhnya kami muliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi, berakal sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan bahasa, mampu berfikir untuk meneruskan kehidupan dan menguasai segala yang ada di bumi. Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/75.

Kami nyatakan bahawa tidak ada larangan untuk memindahkan anggota seseorang bukan Islam kepada Islam. Hal ini kerana anggota seseorang itu tidak bersifat dengan Islam atau kufur, tetapi ia hanya alat yang digunakan oleh manusia untuk melaksanakan tuntutan akidah dan manhajnya dalam kehidupan.

Apabila sesuatu bahagian anggota berpindah daripada seorang non-Muslim kepada seorang Muslim, maka anggota tersebut menjadi sebahagian daripada tubuh badan Muslim tersebut. Seterusnya, anggota tersebut digunakan untuk menunaikan tanggungjawabnya, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bahkan kita menghukumkan bahawa anggota badan non-Muslim adalah Islam. Kami berpegang bahawa seluruh anggota, organ termasuk darah sentiasa bertasbih memuji-Nya dan sentiasa patuh dan taat kepada perintah-Nya.

Sebenarnya, hukum pemindahan organ telah kami huraikan dengan panjang lebar dalam Bayan Linnas di sini (https://goo.gl/7japoI) dan buku kami yang bertajuk Pemindahan dan Pendermaan Organ. Boleh rujuk kedua-duanya untuk penjelasan lebih mendalam.

Berkenaan dengan persoalan samada pendermaan darah dari orang bukan Islam yang mungkin memakan makanan seperti khinzir adakah dikira sebagai haram dan juga najis mughallazah (major impurity), kami nyatakan di sini bahawa hukumnya DIBOLEHKAN kerana ia adalah darah dan bukan lagi zat khinzir atau ‘ain (essence) khinzir secara total. Begitu juga darah seperti yang kita ketahui, terbentuk daripada nutrisi-nutrisi hasil makanan dan minuman yang pelbagai. Maka, kita dapat ketahui bahawa darah tidak hanya terbentuk dengan zat khinzir atas faktor perubahan istihalah (the transformation of a substance’s properties resulting in the removal of its impure nature).

Justeru, kami katakan tidak menjadi kesalahan untuk menderma darah walaupun seseorang non-Muslim itu memakan makanan seperti khinzir. Sebaliknya, kami sarankan agar penderma darah diberi penghargaan dan sedikit keistimewaan agar kempen derma darah dapat disemarakkan disamping bekalan darah negara sentiasa mencukupi bahkan melebihi paras biasa.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengemukakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 April 1982 telah membincangkan Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Menderma darah hukumnya harus.
  • Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.

Semoga pencerahan ini menjadikan kita masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, saling hormat menghormati dan membantu agar negara kita sentiasa menjadi negara yang harmoni dan aman.

 

5. SOALAN :

Adakah seseorang yang menderma darah kepada orang lain boleh dianggap sebagai saudara sedarah?

JAWAPAN :

Seseorang yang telah menerima darah daripada orang lain tidak dianggap sebagai saudara mengikut keturunan atau saudara susuan atau saudara persemendaan melainkan jika sudah ada talian persaudaraan lebih awal melalui keturunan atau susuan atau persemendaan. Didalam Islam tiada istilah saudara sedarah.

Sumber soalan dan jawapan ini diambil dari:

  1. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1407-al-kafi-li-al-fatawi-ke-528-hukum-menerima-darah-dan-organ-daripada-non-muslim
  2. http://www.jawi.gov.my/my/arkib-berita-2/arkibtazkirah/1478-hukum-derma-darah-disamakan-dengan-air-susu
  3. http://www.muftiselangor.gov.my/sosial-syariah#faqnoanchor
Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping