fbpx

Update: Kilang diserbu lagi pada 24 Januari 2019. Kilang Bebola Ikan Diarah Tutup Akibat Kotor

Update: Kilang Diserbu Lagi Pada 24 Januari 2019!

Satu pemeriksaan dijalankan oleh KPDNHEP Alor Setar, Kedah berkaitan isu yang tular mengenai bebola ikan jenama “ Kak Su” yang mengelirukan pada 24. 01.2019. 

Hasil pemeriksaan mendapati Syarikat Hong Seng Fish Products Sdn. Bhd kini hanya menggunakan satu jenama sahaja, iaitu “Kak Su” untuk bungkusan bebola ikan yang beratnya 1 kg.

Syarikat ini telah berhenti menggunakan satu lagi jenis bungkusan yang dilabel dengan “Hong Seng Fish Products Sdn Bhd” sejak ia dikenakan tindakan oleh KPDNKK Kedah dalam bulan Februari 2017.

bebola ikan jenama Kak Su

Bungkusan baru produk ini tiada logo halal atau apa-apa perbahasan atau petunjuk yang boleh memberi makna bahawa produk ini adalah halal dan syarikat ini tidak pernah mendapat persijilan halal.

Oleh yang demikian, tiada tindakan kes diambil mengenai isu halal. Akan tetapi satu tindakan di bawah Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar dan Penjualborong) 1980 telah diambil kerana bungkusan baru tiada dilabelkan dengan nama syarikat yang mengeluarkan bebola ikan tersebut.

Sumber: Facebook Nforceteam KPDNHEP

Kilang bebola ikan ‘mengelirukan’ diperiksa

BAHAGIAN Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memeriksa premis pengeluar bebola ikan di Alor Setar, semalam yang disyaki meragukan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Chin Ching Chung berkata, pemeriksaan bermula 1 tengah hari itu susulan isu bebola ikan disyaki mengelirukan apabila ditular semula di laman sosial kerana menggunakan dua label nama bagi satu produk bebola ikan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati syarikat pengeluar bebola ikan itu kini hanya menggunakan satu jenama sahaja untuk bungkusan bebola ikan seberat satu kilogram (kg), bukan seperti ditularkan.

“Hasil siasatan mendapati, syarikat ini sudah menghentikan penggunaan satu lagi jenis bungkusan dilabel dengan nama lain sejak ia dikenakan tindakan oleh KPDNHEP pada Februari 2017.

“Namun, hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan baru produk ini tiada logo halal atau apa-apa perbahasan atau petunjuk yang boleh memberi makna bahawa produk ini adalah halal dan syarikat ini tidak pernah mendapat persijilan halal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chin berkata, namun setakat ini tiada tindakan diambil berkaitan isu halal.

Beliau berkata, tindakan akan diambil mengikut Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar dan Penjual Borong) 1980 disebabkan bungkusan baru dipercayai tidak dilabelkan dengan nama syarikat mengeluarkan bebola ikan berkenaan.

“Selain itu, kami merampas 30 unit bungkusan bebola ikan yang setiap satu seberat 1kg untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM240 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Pada 5 Februari 2017, KPDNHEP Kedah merampas 204 paket bebola ikan kerana gagal mengikut spesifikasi pelabelan pembungkusan di sebuah kilang di Jalan Gangsa, Mergong, Alor Setar.

Tindakan itu diambil selepas produk terbabit menjadi tular di media sosial apabila syarikat terbabit menggunakan dua label nama bagi satu produk bebola ikan sehingga boleh mengelirukan pengguna beragama Islam.

Produk itu dilabelkan dengan nama Melayu dipercayai untuk pasaran di pasar raya atau kedai pemilik beragama Islam, manakala satu lagi label tertulis nama syarikat itu dan kedua-duanya menggunakan alamat sama.

Sumber: MyMetro

Gambar Sekitar Operasi KDPNHEP pada 24 Januari 2019

Kilang Bebola Ikan Diarah Tutup Akibat Kotor

ALOR SETAR: Sebuah kilang pemprosesan bebola ikan di Jalan Gangsa, Mergong di sini, diarahkan tutup selama empat belas hari bermula Ahad kerana beroperasi dalam persekitaran yang kotor.


Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Mohd Fitri Hassan (kiri) menunjukan bungkusan bebola ikan yang dirampas di sebuah kilang pemprosesan bebola ikan di Jalan Gangsa pada 5 Februari 2017. – BERNAMA

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd Fitri Hassan berkata tindakan itu diambil oleh Bahagian Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan yang membuat pemeriksaan bersama kira-kira 2 petang.

“KPDNKK Kedah bersama Bahagian Kualiti Kementerian Kesihatan membuat pemeriksaan di dalam kilang terbabit dan mendapati lantai dan persekitaran premis tersebut kotor selain beberapa pekerja warga asing dan tempatan tidak mengenakan sarung tangan dan pakaian lengkap ketika beroperasi.

“Pada masa sama, bebola ikan yang dihasilkan tidak ditutup di bahagian atas dan dibiarkan di dalam besen dan dihinggapi lalat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mohd Fitri berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap pemiliknya berusia 50-an kerana tidak mematuhi spesifikasi pelabelan produk berkenaan seperti tidak menyatakan butiran sukatan berat, pengeluar dan menggunakan alat sukatan tidak disahkan.

Beliau berkata ketika serbuan, empat pekerja terdiri daripada dua warga Bangladesh dan dua rakyat tempatan berusia 30 hingga 40-an, berada di kilang terbabit.

Berikutan itu, pemilik kilang terbabit disiasat kerana melanggar Perintah 3(1)(b) Perintah Kawalan Harga (Pelabelan oleh pekilang, pengimport, pengeluar atau penjual borong) 1980.

Jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala denda tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan.

“Kita juga siasat mengikut Seksyen 16(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak disahkan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM4,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi orang perseorangan, didenda tidak lebih RM4,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” kata beliau.

Dalam operasi tersebut, alat penimbang elektronik dan 204 bungkus bebola ikan bernilai RM800 turut dirampas, katanya.

Mohd Fitri berkata kilang yang mempunyai lesen itu beroperasi setahun lepas dengan menghasilkan bebola ikan dan mengedarkannya di kedai-kedai runcit dan pasar raya sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan Perlis.

Sumber: Mstar

Beli Produk Frozen Secara Online Di Sini

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

×

Cart

Dapatkan Kupon

RM5 OFF

Subcribe e-mail kami dan dapatkan kod diskaun serta-merta!