MARA Bantu Usahawan Perluas Monopoli Perusahaan Pembungkusan Cecair

Oleh : [email protected]
Klang: 26 April 2019 – PS Poly Pack Sdn. Bhd. yang terletak di Meru, Klang merupakan perindustrian pertama usahawan Bumiputera yang memonopoli perusahaan menyediakan pembungkusan cecair kepada pelbagai produk dalam dan luar negara di antaranya cecair pencuci TOP, Breeze, Dettol, pembungkusan bahan makanan dan minuman seperti BOH, Faiza, Adabi dan produk-produk dari Econsave dan beg plastik kedai bebas cukai di KLIA.
Pelaburan berjumlah RM40 juta
Pengarah Urusannya IR Mohd Zain Harun yang memulakan perniagaan pada 2010 dengan pelaburan sehingga kini berjumlah RM40 juta telah mendapat kepercayaan MARA untuk tawaran kemudahan perniagaan melalui Skim Pinjaman Perniagaan BARON pada 2016 berjumlah RM5 juta.

Bantuan kemudahan ini berjaya meningkatkan pengeluaran perusahaan beliau sebanyak 40% melalui pembelian mesin pembungkusan berteknologi tinggi dan penyelidikan inovasi yang lebih intensif.
Bekerjasama dengan pelbagai agensi
“PS Poly Pack sentiasa berkerjasama dengan DIDEC, SIRIM, FAMA, MADA, KADA, PERDA dan MATRADE bagi memastikan perusahan pembungkusan kami mencapai tahap kualiti dan speksifikasi yang ditetapkan.
Ini amat penting sekiranya kami ingin jenama kami terus bersaing di peringkat antarabangsa,” ujar IR Mohd Zain.

Mendapat kepercayaan pasaran luar negara
Menurut beliau lagi PS Poly Pack telah mendapat kepercayaan pasaran dari luar negara seperti Brunei, Vietnam, Singapura, Thailand, Hong Kong dan beberapa negara Asean lain bagi pembungkusan produk mereka.

Pembungkusan cecair dilihat semakin mendapat tempat di kalangan pengilang dan pengeluar kerana faktor penjimatan kos pengeluaran, pengisian dan logistik yang amat ketara berbanding penyediaan menggunakan botol plastik atau kaca.
Pembungkusan cecair lebih optimum berbanding pembotolan
Jangka hayat atas rak, ketahanan bahan plastik, mesra alam dan penggunaan bahan isi secara maksimum didapati lebih optimum berbanding dari pengisian secara pembotolan.
Lawatan kerja pertama oleh Pengerusi MARA, Dr. Hasnita Dato’ Hashim bersama Ahli Majlis MARA, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin ke tapak perusahaan hari ini telah membuka lebih peluang pengembangan perniagaan dengan perkongsian pengalaman dan pandangan bagi peningkatan perusahaan melalui Skim Pinjaman Perniagaan ‘Groom Big’.

Mempunyai kerjasama dengan syarikat gergasi nasional
Dr. Hasnita berasa kagum dengan jaringan kerjasama sedia ada PS Poly Pack bersama syarikat-syarikat gergasi nasional seperti Sime Darby, Petronas, FELDA dan KLIA. Ini dilihat sesuatu yang amat membanggakan bagi sebuah perusahaan Bumiputera dan perlu diberi perhatian di bawah payung kemudahan perniagaan MARA.
Manakala sebagai seorang usahawan yang berjaya dalam rantaian hypermarket terkenal MYDIN, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin melihat perusahaan pembungkusan cecair yang diusahakan ini amat berpotensi tinggi untuk dinaik taraf dengan penglibatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang lebih agresif.

Pengeluaran 100% Jenama Origina
Beliau turut mellihat peningkatan potensi perusahaan ini yang telah maju setapak dengan pengeluaran produk berasaskan minuman kesihatan pelbagai perisa iaitu Origina sejak 2014 dengan pengeluaran 100% dari pembungkusan hingga ke pemilihan bahan dan penghasilan produk.

Lawatan kerja ini turut disertai bersama oleh Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA, Encik Zahari Aziz dan Timbalan Pengarah MARA Negeri Selangor, Encik Abu Sufian Abu Hanapiah.
Sumber: https://ewarta.mara.gov.my